Monday 9 December 2013

cerkon (cerita kontot) - aku kerusi


Aku kerusi. Hanya satu di taman ini. Letakku di tepi lorong pejalan kaki. Maka setiap hari, dari pagi hingga kembali ke dinihari, aku menjadi pemerhati. Pemerhati manusia sama ada wanita mahupun lelaki. Pemerhati jiwa-jiwa yang riang dan hati-hati yang sepi. 

Pagi, akan aku perhatikan mereka ini. Pertama, wajah- wajah yang mengerutkan dahi.Beruniform kemas serta berkenderaan sendiri. Hmm.. pagi-pagi lagi dah macam ni? Biasalah, bagi golongan-golongan manusa yang sedang sibuk bekerja begini. Menggali nafkah dan rezeki. 

Akan aku perhatikan juga wanita di seberang jalan. Seawal selepas Subuh terus memulakan jualan. Bukannya sayur-sayuran atau buah-buahan, tapi sekadar pengalas perut agar tidak berkeroncongan. Nasi lemak, kuih-muih menjadi taruhan. Alhamdulillah rezeki buatnya melimpah . Cukup buat mengisi perut anak-anak di rumah. Kemudian ada juga yang sekadar menjengah. Apa boleh buat, nasi lemak dah habis.

oh, tak mengapa. Kemudian aku akan melihat gelagat anak-anak ke sekolah. Comel sekali. Aku ini kerusi. Untuk beranak - pinak mustahil sekali.
Jika hari pertama persekolahan, pasti ada yang menangis. Saban tahun aku menyaksikannya. Kadang kala ada yang menjerit-jerit mahu pulang.hesshess*kerusi ketawa kecil
Namun pada hari biasa, kebanyakan anak-anak kecil itu kelihatan riang ke sekolah atau tadika.

Bagi yang remaja pula, ada yang masih berbasikal, ada pula yang sudah bermotosikal. Jarang yang menaiki kereta, kecuali bersama ibu bapa.Jika sudah hampir lewat, bermacam-macam gaya pecutan ada. Malah bakat-bakat luar biasa seperti Valentino Rossi mula menyerlah. Bakat terpendam. Bagus jika diasah. Mana tahu boleh jadi kebanggaan negara kan..

Siapa lagi ya?

Terlalu ramai. Terlalu banyak manusia. Juga banyak gelagatnya. .Kadang-kadang aku ketawa juga. Mujur manusia tidak mampu mendengar. Lucu sekali.Simpati pun ada .

Simpati?

Ya, kadangkala simpati melihat manusia, dengan anugerah akal, yang adakalanya menyedihkan.
Jangan kau tak percaya, di atas diri aku ini pernah bertenggeknya si kaki judi,yang sibuk mengira untung rugi.
Di atas aku ini, pernah diduduki si pencuri, yang mangsanya sedang dicari-cari.
Malah akulah menjadi kegemaran si kaki mabuk, hinggakan muntah terbatuk-batuk.
Pernah suatu ketika, aku menjadi saksi kepada pembunuhan, yang mangsanya mati di atas diriku,sendirian. Malangnya aku tidak mampu bersuara menegakkan kebenaran. Polis mengatakan ianya masih dalam siasatan( aku mendengar suara-suara manusia sekitar yang menyatakan perasaan dan belas ihsan)
Entah -entah sudah diselesaikan. Aku tak pasti. Aku tak keruan.

Kadang-kadang pada waktu petang, muncul seorang tua. Lelaki. Berkulit cerah dan putih, namun putih lagi uban di sekitar rambutnya yang jarang-jarang.
Dia memandang aku. Sebenarnya aku turut memandangnya, tapi dia tidak tahu. Aku dapat merasakan dia menantikan seseorang. Sepi. Sunyi.
Bukan suasana, tapi dirinya.
Lelaki itu perlukan teman.
Dan akulah temannya.
Setiap petang . Setiap hari. Selama berbulan-bulan lamanya.
Aku sukakannya.

Namun suatu hari, aku mendengar khabar dia telah pergi. 
Aku harap dia tidak sepi sendiri sebelum pergi.
Atau mungkinkah pemergiannya hanya aku yang tangisi?
Aku hanya mampu berserah pada Ilahi.

Kemudian rutinku menjadi seperti biasa. Menjadi pemerhati.
Pada manusia biasa, aku hanyalah kerusi. 
Maka, aku memandang dunia hanya dari sudut sebuah kerusi.
Bagaimana insan memandang dunia dari perspektif manusiawi?

#kata-kata kerusi juga tajam menikam



Ubah cara pemikiran dengan berimaginasi




No comments:

Post a Comment