Sunday 12 March 2017

Obi

Assalamualaikum

Hai! Aku nak bercerita berkenaan dengan abang aku yang tengah sedih dan susah nak move on sebab kucing kesayangan dia hilang. Eh silap bukan nak cerita pasal dia, tapi pasal kucing tu haha.Nama kucing tu Obi, baru hilang kira-kira Disember lepas, well tak adalah baru sangat kan. Dah 3 bulan dah abang aku bertangisan sendu di dalam hati. Dulu aku ingatkan dia dah move on dan mampu cari kucing lain tapi rupanya-rupanya belum lagi. Huhu bertabahlah abangku. Secara fizikalnya Obi sejenis kucing berwarna putih yang berbulu gebu dan cantik, dengan sedikit tompok sahaja dan yang paling mudah dikesan pada wajah beliau ada tompokan kecil berwarna hitam di hidung.

Obi ni aku pun taklah kenal rapat sangat (amboi cara tulis macam manusia ja, tapi makhluk Allah jugak so okaylah tu). Al kisah abang aku jaga beliau sejak kecil lagi bersama adik beradiknya Mika kalau tak silap, tapi Mika telah pergi meninggalkan dunia fana ini.. jadi tinggallah Obi seekor. Waktu ni abang aku masih belajar kat Selangor. Tapi bermula dari tahun lepas, abang aku sudah berjaya menghabiskan pengajian di situ, jadi dia pun bawalah Obi pulang ke kampung, buat pertama kali. Sebenarnya dalam jangka masa Obi di kampung, beliau telah hilang beberapa kali. Ingin aku perjelaskan, yang bakal aku ceritakan adalah kehilangan beliau di Aidilfitri, manakala kehilangan sebenar beliau terjadi beberapa bulan kemudian. Ianya masih menjadi misteri hingga kini.

Obi ni jenis yang tak keluar rumah sangat, beliau tak reti jalan-jalan macam kucing kampung yang lain. Setiap kali beliau hilang, kami semua macam agak panik..tertanya-tanya ke manalah beliau pergi? Dahlah penakut si Obi ni..yalah mak aku bersuara tinggi sikit ja terus lari tak cukup kaki haha. Aku pun tak tahu apa la yang Obi takut sangat. Hmm mungkin sebab tak biasa kot, faham jelah kan tempat baru..suasana baru. Pernah satu malam tu berjam-jam si Obi ni menyorok bawah katil. Maka jenuh le tuan dia nak kena pujuk keluar dari bawah katil tu.. nasib berjaya digagau jugak walau hujung katil beliau menyorok. Itu belum masuk tak mahu makan minum semua lagi.. alahai la kucing seekor oii, merajuk sebab kena pindah ke Obi?Haha. Oh maaf dah terlari dari point, sambung balik cerita masa Obi hilang hari raya ye. Alhamdulillah kes kehilangan Obi yang hari raya telah berjaya diselesaikan. Nak tahu tak macam mana Obi telah dijumpai?

Pagi sebelum solat sunat hari raya Aidilfitri tahun lepas, keluarga aku telah dikejutkan dengan kehilangan Obi, maka semua bertungkus lumus mencari beliau. Ada yang turut meninjau sampai ke luar di sekitar halaman rumah. Kami risau beliau sesat. Aku juga turut bingung mencari beliau. Nak dijadikan cerita, lebih kurang dua tiga jam kemudian, aku terdengar bunyi dentingan loceng di sekitar bilik aku. Tetapi bunyi itu terlalu sayup dan sukar untuk aku kesan. Pada mulanya aku tidak sedar akan kehadiran bunyi tersebut, tetapi setelah aku cuba dengar betul-betul..maka tidak syak lagi, memang bunyi loceng. Hmm..macam bunyi loceng Obi je..tapi, mana Obi? Maka aku pun cuba mempergiat pencarian beliau di sekitar bilik itu. Namun masih aku tidak nampak langsung kelibat beliau. Malah bunyi tersebut juga sudah mula hilang. Ala mana Obi ni..

"kring..kring..kring.."
Tetiba telinga aku berjaya menangkap bunyi itu lagi. Yes! aku rasa aku dengar di sekitar drawer plastik berwarna oren dan bertingkat empat di tepi tingkap bilik. Entah kenapa, aku dapat ilham untuk menarik semua laci yang ada, satu persatu. Aku mulakan dari laci yang paling atas.Tiba-tiba, ketika aku menarik laci yang terakhir di bawah sekali..

"Eh Obi!"
Fuh semangat.. terkejut aku tetiba nampak beliau mengerekot tak cukup ruang (sebab beliau gebu gebam) di dalam laci. Beliau pun apa lagi terus keluar dari ruang laci yang sempit tersebut. Terlopong aku seketika sebelum bertindak pantas menutup pintu bilik agar Obi tidak merayau merata-rata lagi. Abang aku tiada di rumah, lepas solat sunat raya masih cuba melihat-lihat di sekitar rumah mencari Obi.

Yang peliknya, macam mana lah boleh pulak si Obi ni boleh ada di dalam drawer yang tertutup? Itu persoalan yang masih belum berjaya kami rungkaikan sehingga kini.

Abang aku sangatlah lega dan gembira apabila perkhabaran Obi yang telah dijumpai sampai di telinganya, alhamdulillah. Obi la Obi.. buat drama pulak beliau di hari raya yang mulia ini. Tapi itulah, yang sedihnya kegembiraan itu hanya bertahan beberapa bulan, sekarang Obi hilang lagi. Kehilangan kali ini, beliau telah keluar dari tingkap bilik abang aku, entah macam mana la engkau menyusup Obi ooi, penakut tapi bijak rupanya engkau ni. Kali ini berhari-hari kami semua cuba mencari, tapi Obi tetap tidak muncul-muncul sehingga makan masa berbulan-bulan kini. Aku rasa bagi pemilik kucing mesti faham perasaan bila kucing kesayangan yang hilang kan, rasa dia macam lain sikit sedihnya. Walaupun aku tak bela kucing tu, tapi aku turut bersimpati. Abang aku cakap dia tahu Obi masih hidup tapi mungkin sudah ada orang lain yang bela sebab Obi macam kucing kacukan sikit, handsome gitu.

Kisah ini aku tujukan buat pemilik-pemilik kucing yang mesti pernah menghadapi kehilangan atau kematian kucing-kucing comel dan manja kalian. Oh ya sudah semestinya juga untuk abang aku yang masih patah hati, semoga sentiasa dilapangkan dada. Aku bersyukur juga kepada Allah yang ciptakan makhluk bernama kucing, yang boleh membawa rezeki, memberi terapi minda, menambah ukiran senyuman manusia dan rasa bahagia. Tidak dilupa marilah kita sama-sama menitikkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan makhluk penghuni bumi Allah ini. Hehe terima kasih tau sudi baca.

No comments:

Post a Comment